Sunday, 11 December 2011

HUKUM MEMULIAKAN AL-QURAN

Umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib memuliakan, mengagungkan dan memelihara Kitab Suci al-Qur’an. Baik dari segi memelihara kesuciannya daripada kotoran ataupun memelihara kemuliaannya daripada sebarang perubahan, penambahan atau sebarang perbuatan yang membawa kepada penghinaannya. Begitu juga dari segi menjaga adab-adab ketika membacanya, menulis, membawa, menyentuh, meletak dan menyimpan al-Qur’an, dan menjauhkannya daripada terdedah kepada perkara yang hina umpamanya meletakkannya di tempat tempat yang tidak munasabah seperti tempat kotor, bersepah di jalan-jalan dan sebagainya.
Menurut Imam Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah, bahawa sesiapa yang memandang ringan terhadap al-Qur’an, mushaf atau sesuatu daripada ayat al-Qur’an, ataupun dia mengingkari satu huruf daripadanya, atau mendustakan sesuatu hukum atau khabar yang telahpun dijelaskan dalam al-Qur’an, atau dia mensabitkan sesuatu yang dinafikan dalam al-Qur’an, atau dia menafikan sesuatu yang disabitkan dalam al-Qur’an sedang dia tahu atau syak pada perkara itu, maka orang tersebut adalah kafir menurut ijma‘ umat Islam.
Demikian juga, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib menjaga dan menghormati mushaf. Menurut para ulama asy-syafi‘e dan ulama yang lainnya Rahimahumullah, jika seseorang muslim itu membuang mushaf ke tempat-tempat kotor, maka jadilah dia kafir.
Menurut mereka lagi, hatta menjadikan mushaf itu sebagai bantal hukumnya adalah haram.begitulah ketinggian dan kemuliaan al-Qur’an. Kita amat dituntut untuk menghormati dan menjaga kesuciannya. Sehinggakan seseorang itu boleh menjadi kafir apabila mengingkari atau menghinakannya.
Memandangkan kedudukan al-Qur’an yang amat tinggi dan mulia itu, bagaimanakah cara yang betul untuk mengendalikan mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi? Adakah boleh dilupuskan mushaf tersebut? Melupuskan Mushaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi Mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi dan sukar untuk dijaga dan dipelihara, boleh dilupuskan dengan tujuan untuk menjaga kehormatannya. Perkara ini pernah dilakukan oleh Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu.

No comments:

Post a Comment